![Image hosted by Photobucket.com](http://i32.photobucket.com/albums/d47/nurnisri/cover_nsh_saujana.jpg)
![Image hosted by Photobucket.com](http://i32.photobucket.com/albums/d47/nurnisri/animated/sigs_mood_005.gif)
Contohnya, seorang kanak-kanak lelaki umur lapan tahun mati kena kejutan elektrik setelah mencelup tangannya ke dalam air pancut. Adakah anak itu membuat dosa besar, sedangkan anak itu belum baligh?
Faktanya begini.
Anak itu mencelup tangannya ke dalam air. Ini perbuatannya sendiri. Salahkah perbuatannya itu?
Pada hakikatnya tidak salah. Air pancut itu mempunyai kebocoran kuasa elektriknya ke dalam air dalam kolam. Salah siapa? Kemungkinan besar salah pihak majlis yang tidak membuat pemeriksaan berkala untuk memastikan keselamatan air pancut berkenaan.
Tiada yang tahu cara untuk menyelamatkan anak itu dengan tidak membahayakan diri sendiri. Salah siapa? Salah orang sekeliling sebab tidak tahu dan tidak mempelajari langkah keselamatan.
Melihat fakta di atas, maka fahamlah kita apa yang dimaksudkan dengan musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri. Kamu yang dimaksudkan bukan seorang manusia tetapi sekumpulan manusia yang masing-masing perlu mainkan peranannya untuk memastikan keselamatan.
Begitu juga memahami langkah yang patut diambil pada setiap krisis yang melanda. Kita boleh yakin bahawa walaupun malang yang menimpa adalah akibat keputusan yang kita buat, ini tidak bererti kita mungkin tidak berdosa dengan keputusan itu walaupun ia menyebabkan musibah menimpa diri.
Justeru, sikap yang diambil oleh orang yang terkena musibah adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah bermaksud: "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:"Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun."(Surah al-Baqarah, ayat 155 dan 156)
Ramai juga yang sebelum diduga menjangka mereka manusia yang hebat dan gembira dan merasakan diri mereka disayangi Allah. Tetapi, apabila ditimpa musibah, amat kecewa dan sedih. Malah, ada yang memarahi Tuhan dengan mengatakan: "Inikah balasan-Mu Ya Allah dengan kesetiaan dan ketaatanku terhadap-Mu?"
Allah berfirman mengenai perkara ini bermaksud: "Dan apabila Kami rasakan suatu rahmat pada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa." (Surah ar-Ruum, ayat 36)
Ayat itu menegaskan ayat yang disebut awal tadi serta menyatakan sikap orang beriman yang tetap akan beruntung walaupun dirunding malang. "Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah at-Taghaabun, ayat 11)
Firman Allah kepada mereka yang ditimpa malang, maksudnya: "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman." (Surah Ali Imran, ayat 139)
Ayat di atas ini diturunkan selepas peperangan Uhud. Umat Islam ditimpa kekalahan dan ramai yang syahid. Berikutan itu, Allah menasihatkan umat Islam yang ditimpa malang supaya jangan lemah semangat dan bersedih hati, sedangkan mereka sebagai orang yang beriman tinggi darjat jika benar-benar beriman. Ayat ini menunjukkan kecekalan dan keanjalan yang patut ada kepada orang yang benar-benar beriman dan menyerah diri bulat-bulat kepada Allah.
Penulis adalah seorang doktor perubatan