MEMBERONTAK...tengking, jerit, maki, rotan dan seumpamanya hanya akan membuatkan hati anak jadi semakin keras. 
"ANAK saya degil, tak mahu dengar cakap!"
   "Anak saya malas belajar setiap kali peperiksaan dan ujian di sekolah dia selalu dapat nombor corot!"
    "Anak saya malas solat, kalau tak suruh, dia tidak akan buat!"
Sebagai ibu bapa, pasti ada yang pernah mengeluh sebegini. Perkara ini  memang biasa terjadi, lebih-lebih lagi sekiranya anak anda sudah boleh  bercakap, berfikir dan menilai (walaupun penilaian berdasarkan tahap  peringkat umur mereka saja).    
 
  Kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga tujuh tahun memang  sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan  mereka juga didapati 'tidak dengar kata'.
         
  Apa yang berlaku adalah ketiadaan komunikasi dua hala antara ibu  bapa dan anak. Di samping itu, kanak-kanak sebenarnya tidak dapat  mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada  suara ibu bapa.
Sebaliknya, perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.
Justeru, sekiranya anak anda degil, sering memberontak, membaling barang dan memusnahkan permainan, siapakah yang bersalah?
Sudah tentu orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak   si anak. Berikut ada beberapa panduan yang boleh digunakan bagi  menangani anak sebegini.
- Cuba fahami bahasa anak anda dengan  bertanya secara lembut kepadanya. Sebaiknya tinggalkan sebentar apa yang  anda lakukan sama ada sedang memasak atau membasuh baju dan berikan  perhatian kepada anak.
Selalunya ibu bapa bercakap sambil lewa saja tetapi sebaiknya, pandang muka dan tatap matanya dengan penuh kasih sayang.
Berapa kali dalam sehari kita bertentang mata dengan anak? Perhubungan  mata sangat penting dalam apa jua jenis komunikasi walaupun dengan anak  kecil. Ingatlah, kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan  perhatian daripada ibu bapa.
- Sebaik sahaja anda pulang bekerja  dan mengambil anak dari pusat jagaan kanak-kanak, luangkan masa setengah  jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur untuk memasak  atau mengangkat kain di ampaian.
Berikan perhatian pertama  kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya  seharian di rumah bersama pembantu rumah atau  di tadika. Dukung dan  peluklah dia serta nyatakan di telinganya yang anda sangat sayangkannya.
Bermain-main dengannya kira-kira setengah jam, barulah anda minta diri  untuk ke dapur. Mudah-mudahan dia akan lebih mendengar kata kerana  perhatian yang diharapkannya sudah diperoleh.
- Ajarkan anak  dengan perkataan "tunggu sebentar boleh" sekiranya anak perlukan sesuatu  dan anda tidak dapat melakukannya kerana sedang sibuk di dapur.
Layan dia sebaik sahaja berkesempatan. Jangan buat tidak tahu sahaja  atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya anda sedang mengajar  anak agar tidak menghiraukan orang tua. Kita tidak boleh mengharap dia  patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan dia demikian.
Ingatlah, anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.
-  Cuba fahami personaliti anak anda. Setiap anak dikurniakan Allah dengan  personaliti tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak  mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai inginkan perhatian.
Oleh itu, jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti  memandang ke arahnya atau bertepuk tangan jika dia menyanyi.  Bagaimanapun, anda boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka  menjerit tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang  tidur.
Sekiranya anak suka menjerit, anda boleh meminta dia  menjerit di dinding berulang kali sehingga dia letih. Mungkin dia akan  berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari.
Sekiranya  dia mengulanginya semula, anda suruh dia lakukan perkara yang sama  sehingga dia berhenti. Berikan dia hadiah sekiranya anda dapati dia  tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam sehari. Katakan  padanya, "Mama berikan hadiah coklat  kerana kakak tidak menjerit hari  ini." Dengan ini, anak akan faham bahawa ibu bapa tidak menyukai  perbuatan itu.
- Sentiasa ingatkan diri anda mengenai sifat positif anak yang keletah dan kerenah anak yang menghiburkan.
Tumpukan perhatian anda kepada kelebihan itu. Jangan mengingati  kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang. Bayangkan  anak  dengan semua sifat positif yang anda inginkan setiap kali  berinteraksi dengan anak.
Anda juga boleh berbuat demikian  setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya.  Usapkan dengan lembut pada ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat  serta sebutkan harapan anda kepadanya.
Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibu bapa yang membuat peraturan, disiplin dan galakan kepada anak.
-  Periksa siapa yang biasa ditemui anak-anak anda setiap hari. Sekiranya  anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam  rumah itu (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang  diasuh).
Adakah terdapat mereka yang membawa unsur negatif? Jika  ada, sebolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain  kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Biar  bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik daripada kita  menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.
-  Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking,  menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan  seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras.
Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang  dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibu bapa  memarahi mereka, maka semakin kuat pemberontakan mereka.
Anak-anak pada usia ini tidak 'makan' dengan cara seperti ini. Ia  mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini  tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri  mereka.
Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan  kesalahan, dekati anak serta dakap, peluk, cium, sayang dan dudukkan  anak di atas pangkuan, berilah nasihat secara hikmah.
Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat itu salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.
~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, Perliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~